My childhood life
Teringat kenangan sewaktu kecil. Terimbau kembali zaman kanak-kanak di mana aku tidak mengenal baik buruk sesuatu perkara itu. Apa yang difikirkan di minda, hanyalah untuk berseronok. Zaman kanak-kanak ku tiada bezanya dengan kanak-kanak lain. Berlari ke sana ke mari. Bercakap dan bertanya tanpa henti. Walaupun dibesarkan di negara orang, Amerika, ianya tetap sama bagi kanak-kanak. Biarpun, bahasa pertama yang dikuasai ialah bahasa Inggeris, tapi makna setiap ucapan dari bibir adalah sama.
Aku tahu aku bukanlah jenis kanak-kanak yang mendengar kata sangat. Jika tidak, masakan aku boleh berlari melintas jalan sehingga dilanggar kenderaan lain tatkala ayah aku melarang. Dan juga masakan aku boleh lemas di dalam kolam renang tanpa memakai jaket keselamatan tatkala ibu menyuruh aku pulang ke rumah. Itu zaman kanak-kanak aku yang penuh suka duka. Ibu selalu juga bercerita berkenaan kisah kami disuruh duduk diam di dalam bilik air ketika tuan rumah (di Freshno, California) datang untuk memastikan ibu dan ayah hanya tinggal berdua tanpa anak kerana kononnya rumah yang disewa itu sesuai untuk pasangan suami isteri sahaja. Ibu berkata, dia bersyukur kerana aku dan adik berjaya mendiamkan diri buat seketika biarpun ketika kecil, aku dikenali benar dengan perangai suka menangis tak tentu pasal. Hehhehe....
Ayah juga suka membelek album gambar dan bercerita bagaimana comelnya perangai kami di zaman kanak-kanak. Betapa petahnya kami berbicara dalam bahasa asing. Entah mengapa juga, bahasa Inggeris ku sekarang sudah tidak sepetah dulu. Sudah lintang pukang. Mungkin kerana jarang menggunakannya sejak pulang ke Malaysia ketika aku baru berusia 6 tahun.
Ya, sempat juga aku bersekolah sebentar di California. Teringat juga kenangan hari pertama ke sekolah di mana ibuku tiba agak lambat dan aku sudah mengikut rakan-rakanku yang lain beratur untuk mengambil lunch dan tatkala tanganku sudah menyentuh tray makanan, mujur ibuku sempat menarikku dan membawa ku pulang. Sememangnya pada ketika itu, aku tidak mengerti mengapa ibu berbuat demikian. Setelah diberitahu, bahawa aku tidak boleh makan di sekolah kerana makanan tidak halal, aku akur sahaja biarpun tidak faham apa erti halal dan haram.
Aku juga pernah pulang bersendirian mengikut kawan baikku kerana ibu tidak juga datang-datang. Tetapi setibanya di pintu rumah, aku meraung bagai nak memecahkan semua tingkap. Kulihat ibu dan adik baru bersiap untuk keluar menjemputku. Hah...memang kaki raung aku nih.
Pernah juga terjadi, kerana kerapnya dan kuatnya raungan aku, sehingga jiran sebelah melaporkan kepada polis kononnya aku didera oleh ibu. Habis dibelek seluruh tubuh aku bagi mengesan lebam atau luka di badan. Namun, sudah semestinya polis tersebut takkan berjumpa satu kesan lebam pun kerana pada hakikatnya ibuku tidak mendera aku cuma aku yang seolah-olah 'mendera' mental ibu ngan perangaiku. Kesian ibuku...Mujur juga, ibu berkata bila dah besar, aku dah tak banyak songeh. Heheh...
Oh yek...kenangan paling manis sewaktu kecil memang banyak tetapi yang paling best mestilah bila berjalan-jalan terutamanya bila ke Disneyland. Hah, bagai syurga buat kanak-kanak sepertiku. Namun begitu, itulah dia kenangan zaman kanak-kanakku. Memang banyak suka duka yang dilalui...tetapi itu semua adalah sesuatu yang berharga untuk aku dan ibu ayah. Sememangnya, bagiku...zaman kanak-kanaklah yang paling meriangkan....
+posted by arkarnax @ 1:18 PM