What A Day!
Hari nih bermula dengan kisah aku mengikut kedua ibubapaku ke lapangan terbang untuk menghantar Duta Filipina pulang ke negaranya setelah tamat tempoh kerjanya disini. Dalam perjalanan pergi, kereta yang kami naiki hampir terlanggar seorang pemuda Romania nih yang sedang mengejar sesuatu di atas jalanan. Apa yang kami sangkakan dia sedang mengejar sekeping kertas, rupa-rupanya kertas berwarna hijau tersebut adalah sekeping not 10000 lei (approx.RM1.20). Kami menyangka, yang dia tercicir suit tuh tapi rupa-rupanya, disepanjang-panjang jalan tuh, berterabut not-not tersebut. Tapi yang menjadi hairannya, tiada siapa yang seperti mempedulikan duit tersebut. Hanya ada seorang sahaja pengutip sampah yang nampak beria-ia mengumpulkan semua wang tersebut. Dari sinar matanya, dia kelihatan begitu gembira dengan membawa sebuah beg yang kelihatan penuh dengan wang tersebut. Ayah aku beria-ria mengatakan berkemungkinan duit tersebut sengaja dibuang merata-rata oleh seseorang yang telah memenangi hadiah loteri yang besar jumlahnya. Sememangnya orang Romania memang gemar bermain loteri. Setiap hotel, tentu sahaja terdapat kasino. Apabila sampai di hadapan Hedreasu Park, kami dapati lebih banyak wang tersebut dibuang merata-rata di situ. Oleh kerana keadaan trafik di situ agak sesak (disebabkan pada hujung minggu, banyak orang Romania yang suka meluangkan masa mereka berkelah di taman tersebut), kami berjaya melihat wang tersebut dengan lebih jelas. Rupa-rupanya not 10000 yang kami sangkakan itu adalah not palsu. Tidak tertulis di atas not tersebut nombor 10000, sebaliknya tertulis 9900 dan terdapat tanda pangkah berwarna putih di atas not tersebut. Nampaknya kami telah tertipu dan pemuda yang hampir dilanggar itu juga telah tertipu. Nasib baik dia tidak dilanggar oleh Nico. Jika tidak, sia-sia sahaja usahanya untuk mengutip wang yang disangka not 10000 itu. Dan pengutip sampah yang mengutip wang-wang tersebut hanya menjalankan kerjanya membersihkan jalan yang telah dipenuhi dengan not tiruan tersebut. Tetapi yang menghairankan kami, masih terdapat beberapa orang yang mengutip dan menyimpan wang tersebut. Mungkin juga tujuan mereka hanya sebagai kenang-kenangan. Tetapi yang pasti, orang yang telah membuang duit tersebut nampaknya telah berjaya memperdaya kami semua. Dan dia sekarang mungkin sedang ketawa terbahak-bahak mengenangkan betapa bodohnya kami semua (dan mereka yang mengutip wang tersebut serta yang menyangka wang tersebut adalah benar). Kami hanya tersenyum dan juga menyatakan bahawa si dia (orang yang membuang duit tersebut) telah mengotorkan jalanan di Bucharest. Sememangnya satu tindakan yang tidak patut dilakukan.
Setelah berpuas hati dengan apa yang kami lihat, kami meneruskan perjalanan ke lapangan terbang. Sampai di sana, mak dan ayah aku masuk ke bilik protokal bersama-sama dengan duta-duta dari negara lain dan aku dan pemandu kami, Nico menunggu di dalam kereta di bawah lembayung pepohon yang menghijau. Oleh kerana aku sudah tahu bahawa mereka akan berada di dalam agak lama, aku membawa bersama sebuah buku cerita berjudul "True Singapore Ghost Story". Sememangnya kekadang aku gemar membaca cerita-cerita yang menyeramkan apatah lagi apabila cerita tersebut cerita yang berlaku di dunia yang nyata. Kekadang aku mengerling ke landasan kapal terbang memerhatikan beberapa buah kapal mendarat dan berlepas. Aku teringatkan pula yang aku cuma ada 5 hari sahaja lagi di Romania.
Tidak sampai sejam kemudian, kedua ibu bapaku keluar dari bilik protokol dan kamipun terus ke Snagov untuk melihat pepohon ceri dengan harapan buah ceri sudah ranum dan jika banyak, boleh dibeli sedikit untuk dibawa pulang. Lagipun, dua tahun sudah, ayah aku sudah ke sana dan telah membeli beberapa kilo buat ceri. Katanya ceri di situ sungguh manis. Jadi, kali ini, dia hendak membawa aku untuk mengambil gambar di pokok ceri tersebut sebagai kenang-kenangan. Sesampai sahaja di sana, kami dapati buah ceri masih belum ranum lagi. Mungkin kami datang terlalu awal dan mungkin juga kerana musim bunga datang agak lambat tahun ini. Tetapi, alang-alang sampai, aku tetap mengambil gambar di situ. Sempat juga aku merasa beberapa biji ceri yang sudah kelihatan kemerah-merahan. Memang nyata, ceri tersebut manis biarpun belum cukup ranum. Aku juga sempat menangkap gambar bersama-sama dengan tuan punya pokok dan cucu-cucunya yang sedang belajar di universiti. Orang Romania yang tinggal di kawasan kampung memang baik dan ramah biarpun mereka tidak tahu langsung berbahasa inggeris.
Setelah bersalam-salaman dan mengucapkan terima kasih, kami berpatah balik ke Bucharest. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Metro kerana mak aku hendak melihat kasut. Harga kasut di Metro memang murah berbanding tempat-tempat lain. Pilihannya pun banyak. Metro keadaannya seperti bazaar. Terdapat kedai kecil-kecil yang menjual pelbagai barangan. Aku berjaya membeli sebotol perfurm. Tapi ironinya, setelah kami masuk ke kedai perfurm yang lain, kami dapati harga perfurm yang baru sahaja aku beli itu, lebih murah harganya dengan beza sebanyak 165000 lei (RM19.20). Kami terkejut bagaimana perbezaan harga itu begitu ketara. Nampaknya kami telah ditipu tetapi barangan sudah dibeli, tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Aku sempat menyumpah seranah di dalam hati pekedai itu yang begitu ramah sekali melayan kami.Tak sangka kami bulat-bulat telah ditipu. Kerana terlalu marah, kami terus berpakat untuk pulang sahaja ke rumah. Tetapi dalam perjalanan pulang itu, kami sempat lagi berhenti untuk mengambil gambar yang telah dicuci.
Sampai di rumah, Ronnie dan Ciko telah setia menunggu kepulangan kami di hadapan pintu. Aku terus ke dapur kerana berasa dahaga. Nasib baik Mak Lang telah menyediakan sejag air sirap. Lega tekak aku. Aku juga dapati Auntie Mihaela telah memberi ikan yang mereka sekeluarga bbq kepada kami. Auntie Mihaela memang baik. Minggu lepas, dia beri semangkuk besar karamel yang sungguh enak sekali. Tak pernah seumur hidup aku merasa karamel sebegitu enak. Kami hanya membalas dengan beberapa biji karipap. Sememangnya, Auntie Mihaela menggemari karipap.
Maka, itulah dia apa yang telah aku lalui hari ini. Aku tau, kehidupan aku tidaklah begitu menarik jika dibandingkan dengan orang lain. Tapi itulah namanya kehidupan aku yang kadang-kadang aku sendiri pun tidak pasti sama ada apa yang aku lalui adalah mimpi atau realiti. Yang nyata...biarpun kehidupan orang lain lebih menarik, tetapi apa yang berlaku dalam hidup kita tidak ada sama langsung dengan sesiapa sahaja....
p/s-wah, aku menulis jurnal aku dalam bahasa melayu kesemuanya dan penuh dengan tatabahasa. Kalau amik bahasa melayu semula, boleh dapat A1 nih...ehehee
+posted by arkarnax @ 11:07 PM